Tag Archives: Hadi Nik

Bubur Lambuk Siantan

oleh Pengarang: Hadi Nik

Lokasi: Apartment Siantan, Taman Putra Perdana, Puchong.

Bubur Lambuk amat sinonim sebagai juadah istimewa kepada masyarakat Islam di Malaysia menyambut menjelangnya bulan Ramadhan dan juga sebagai juadah berbuka puasa.

Beras wangi ditanak dicampurkan dengan daging, pelbagi jenis ramuan rempah ratus dan santan pekat sehingga mendatangkan bau yang harum dan rasa lemak yang enak. Di masjid, di surau dan di bazaar Ramadhan, pasti kita akan bertemu dengannya khususnya pada bulan Ramadhan.

Proses menyedia Bubur Lambuk ini amat rumit kerana bahan campurannya begitu banyak perlu disediakan terlebih dahulu, tambahan pula ia dimasak dalam anggaran yang banyak. Amat seronok jika ia dilakukan secara bergotong royong bersama jiran tetangga. Semangat kejiranan, tolong menolong, permuafakatan, hubungan silaturrahim yang terjalin akan semakin bertambah erat dan mesra lagi antara dengan aktiviti sebegini. Tak kira peringkat umur, lelaki perempuan, dewasa dan kanak-kanak turut membantu bersama dan memeriahkan suasana.

Begitu juga di Apartment Siantan,Taman Putra Perdana, Puchong. Menjelang bulan Ramadhan pada tahun 2014 yang lalu, saya menyaksikan dan mengambil peluang merakamkan bagaimana Bubur Lambuk ini disediakan. Setiap orang telah diberikan tugas masing-masing dari menyediakan bahan sehinggalah tugas memasak. Setelah siap, juadah ini dibahagi dan dimakan bersama-sama jiran tetangga.

Aktiviti sebegini merupakan aktiviti yang baik antara jiran tetangga yang dilakukan setiap tahun menjelangnya bulan Ramadhan. Dalam era globalisasi, marcapada ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Semangat kejiranan dan altruism semakin sima. Justeru, aktiviti kejiranan seperti ini perlu diadakan selalu bagi memupuk sikap bertanggungjawab dan “ambil tahu” antara jiran tetangga dalam masyarakat.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements

Eidul Adha di Kampung Lok Lak

oleh Pengarang: Hadi Nik

Lokasi: Kampung Lok Lak, Besut, Terengganu

This slideshow requires JavaScript.

Pagi Hari Raya Qurban tahun 2014 memberikan pengalaman yang tidak akan saya lupakan apabila saya dapat menyaksikan ibadah Qurban dijalankan di perkampungan Lok Lak di Besut, Terengganu. Seronok melihatkan kemeriahan sambutan di sana. Penuh dengan pengertian yang susah untuk dilihat dan dialami oleh sesetengah masyarakat di kawasan bandar.

Bagi mereka yang menyertai Qurban, mereka hendaklah berada di tempat penyembelihan dan menyaksikan segala proses dari mula hingga akhir. Daging dari penyembelihan pula diberi kesemuanya secara sama rata kepada peserta Qurban mengikut haiwan yang disembelih. Kemudian terpulang kepada peserta Qurban untuk mengagihkan daging ini kepada fakir miskin di kawasan penempatan mereka.

Meriahnya ibadah ini dijalankan di sini apabila segala kerja dilakukan secara gotong royong oleh penduduk kampung tanpa mengira penat dan lelah. Bagi mereka yang menjadi tuan rumah pula, hidangan makanan dan minuman akan disediakan bagi mereka yang terlibat. Dapat dilihat hubungan kejiranan masih kuat dan utuh di kalangan mereka. Yang pastinya Eidul Adha cukup bermakna buat penduduk setempat di sini.

Photo-Essay: Pasar Chow Kit Dalam Kenangan

This slideshow requires JavaScript.

oleh Pengarang: Hadi Nik

Umumnya mengetahui asal usul dan lokasi pasar ini berada. Juga dikenali sebagai Pasar Lagenda di kalangan para peniaga yang telah lama berniaga di sini. Ianya juga merupakan antara pasar tertua yang berada di Kuala Lumpur ini.

Sebuah pasar yang sering dikunjungi oleh warga kota tidak kira bangsa, tua ataupun muda. Di sini kebanyakan barangan keperluan seharian mudah untuk didapati dan pembeli mempunyai banyak pilihan dengan barangan yang hendak dicari. Suasana di sini memang begitu sibuk dengan segala macam urusan jual beli.

Walaupun tapaknya lama, walaupun lorongnya sempit, walaupun keadaan sekeliling hingar bingar, pengunjung tetap tak putus datang mencari dan membeli. Dengan adegan para penjual yang cukup peramah sekali, menjadikan suasana begitu ceria kecoh tak terperi.

Kini…
Semuanya telah tiada, semuanya senyap sunyi…
Tiada lagi kecoh di sana sini…
Apa yang tinggal hanyalah kenangan…
Kenangan yang takkan mudah dilupakan…
Kenangan yang banyak mengajar tentang kehidupan…
Yang telah banyak memberikan pengalaman…
Apakah ketentuan perjalanan…
Apakah perjalanan masih panjang…
Apakah perjalanan di masa akan datang…
Jika inilah ketentuan, terimalah demi pembangunan…
Demi kemudahan dan keselesaan, Biarpun dengan pengorbanan…
Pasar Basah Chow Kit kini kini dalam kenangan.

Photo-Essay: Rezeki Ku Di Sini

This slideshow requires JavaScript.

oleh Pengarang: Hadi Nik

Pasar Karat Jalan Petaling. Umumnya ramai telah mengetahui lokasi sebenar Pasar Karat ini berada. Apa yang menariknya di sini ialah cara mereka berniaga setiap hari.

Beralaskan surat khabar lama sebagai hamparan, berbekalkan beg sandang yang penuh dengan barang-barang lusuh untuk dijual, tawar menawar menjadi agenda utama di dalam urusan jual beli di sini.

Lorong gelap yang terasing dari hiruk pikuk kota raya, mewarnai setiap detik dalam hidup mereka. “Rezeki Ku Di sini”, begitulah ungkapan yang terpalit di dalam hidup mereka. Beralaskan lantai batu tar, berbumbungkan langit nan terbentang luas. Biarlah apa orang kata. Pedulikan apa orang cerca. Bagi mereka inilah tempatnya. Inilah kisah mereka. “Rezeki Ku Di Sini”.