Bubur Lambuk Siantan

oleh Pengarang: Hadi Nik

Lokasi: Apartment Siantan, Taman Putra Perdana, Puchong.

Bubur Lambuk amat sinonim sebagai juadah istimewa kepada masyarakat Islam di Malaysia menyambut menjelangnya bulan Ramadhan dan juga sebagai juadah berbuka puasa.

Beras wangi ditanak dicampurkan dengan daging, pelbagi jenis ramuan rempah ratus dan santan pekat sehingga mendatangkan bau yang harum dan rasa lemak yang enak. Di masjid, di surau dan di bazaar Ramadhan, pasti kita akan bertemu dengannya khususnya pada bulan Ramadhan.

Proses menyedia Bubur Lambuk ini amat rumit kerana bahan campurannya begitu banyak perlu disediakan terlebih dahulu, tambahan pula ia dimasak dalam anggaran yang banyak. Amat seronok jika ia dilakukan secara bergotong royong bersama jiran tetangga. Semangat kejiranan, tolong menolong, permuafakatan, hubungan silaturrahim yang terjalin akan semakin bertambah erat dan mesra lagi antara dengan aktiviti sebegini. Tak kira peringkat umur, lelaki perempuan, dewasa dan kanak-kanak turut membantu bersama dan memeriahkan suasana.

Begitu juga di Apartment Siantan,Taman Putra Perdana, Puchong. Menjelang bulan Ramadhan pada tahun 2014 yang lalu, saya menyaksikan dan mengambil peluang merakamkan bagaimana Bubur Lambuk ini disediakan. Setiap orang telah diberikan tugas masing-masing dari menyediakan bahan sehinggalah tugas memasak. Setelah siap, juadah ini dibahagi dan dimakan bersama-sama jiran tetangga.

Aktiviti sebegini merupakan aktiviti yang baik antara jiran tetangga yang dilakukan setiap tahun menjelangnya bulan Ramadhan. Dalam era globalisasi, marcapada ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Semangat kejiranan dan altruism semakin sima. Justeru, aktiviti kejiranan seperti ini perlu diadakan selalu bagi memupuk sikap bertanggungjawab dan “ambil tahu” antara jiran tetangga dalam masyarakat.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements